top of page

Panduan Perintah Garnisi Ke Atas Akaun Bank Di Malaysia

Writer: Rule & Co Editorial Team
Rule & Co Editorial Team
Sep 2
5 min read

Di Malaysia, bank yang memegang wang dalam akaun penghutang adalah target paling biasa bagi perintah garnisi di bawah Aturan 49 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.


Bagi pemiutang, tarikannya jelas - buat apa berurusan dengan penghutang degil kalau boleh terus minta duit dari bank yang lebih berkemungkinan untuk akur?


child asking dad after mum says no as a humorous reference to garnishing a bank account when a debtor says no
Pandai.

Betapa menarik perintah garnisi secara teori, ada pertimbangan penting yang perlu difahami pemiutang di Malaysia sebelum memulakan prosiding garnisi ke atas akaun bank penghutang.


Begini cara kami terangkannya:


  • keperluan untuk dapatkan penghakiman mahkamah terlebih dahulu

  • jenis akaun yang boleh dan tidak boleh digarnis

  • maklumat yang diperlukan mengenai akaun bank penghutang

  • langkah-langkah proses permohonan perintah garnisi

  • bagaimana bank bertindak sebagai garnisi, dan

  • cadangan minimum praktikal RM50,000 kami


Sudah tentu, anda boleh terus hubungi kami untuk penilaian kes percuma.



Kalau tidak, jom mulakan.


Anda perlukan penghakiman mahkamah dahulu


Ini isu yang mungkin membuatkan kebanyakan pembaca pertimbangkan strategi lain!


Perintah garnisi ialah sejenis execution proceeding, ertinya anda mesti terlebih dahulu dapatkan penghakiman mahkamah yang mengarahkan penghutang untuk membuat bayaran. Hanya selepas itu boleh anda memohon perintah garnisi, dan biasanya hanya jika penghutang masih enggan bayar.


news article showing LHDN can only initiate garnishee proceedings against taxpayers bank accounts with an iitial court order
LHDN pun perlukan perintah mahkamah terlebih dahulu!

Prosesnya secara amnya seperti ini:


  1. Bayaran tertunggak

  2. Penghutang gagal membuat bayaran

  3. Anda memulakan tindakan saman sivil

  4. Mahkamah mengeluarkan penghakiman memihak kepada anda

  5. Penghutang (kini penghutang penghakiman) masih gagal bayar

  6. Barulah anda mulakan prosiding garnisi terhadap mereka


Bagi hutang kecil, kos mendapatkan penghakiman - apatah lagi perintah garnisi - sering tidak berbaloi segi kos.


Tapi katakan anda ada di Langkah 6 - jom kaji cara garnis akaun bank penghutang penghakiman anda.


Akaun bank yang boleh digarnis


Secara amnya, mahkamah Malaysia membenarkan perintah garnisi terhadap wang yang berada dalam kredit penghutang penghakiman dalam akaun bank, termasuk:


  • akaun semasa

  • akaun simpanan

  • akaun deposit

  • sesetengah deposit tetap

  • wang lain yang dipegang oleh bank dan dimiliki sepenuhnya oleh penghutang penghakiman


Aturan 49 dirangka dengan cukup luas untuk meliputi hutang yang ‘kena dibayar atau akan menjadi kena dibayar’ kepada penghutang penghakiman. Oleh itu, akaun deposit sering kali boleh dikenakan garnisi walaupun deposit tersebut masih belum matang.


Akaun yang biasanya tidak boleh digarnis


Bukan semua akaun atau sumber wang boleh dilampirkan sedemikian, contohnya:


  • akaun bank bersama

  • akaun amanah

  • simpanan KWSP

  • wang yang pemilik benefisialnya ialah orang lain

  • penerimaan belum terima pada masa hadapan


Lazimnya jika pemilikan wang tidak jelas atau pihak lain mungkin mempunyai tuntutan ke atasnya, kemungkinan bantahan akan meningkat.


Cara kenal pasti akaun bank penghutang


Secara amnya, pemiutang tidak perlu tahu nombor akaun atau cawangan bank penghutang, tetapi perlu ada bukti bank tertentu menjaga akaun mereka, seperti:


  • bayaran yang diterima daripada akaun penghutang

  • butiran perbankan daripada penghutang sepanjang urusan antara pihak-pihak

  • cek, rekod pindahan bank atau dokumen pembayaran lain

  • kontrak, invois, surat-menyurat atau dokumen lain yang mengaitkan penghutang dengan bank tersebut


Bukti ini dikemukakan kepada mahkamah untuk meyakinkan hakim bank tersebut memegang wang bagi pihak penghutang penghakiman, dan satu kes kegemaran kami melibatkan penggunaan cek tendang untuk menggarnis akaun bank.



Selain itu, jika anda juga berada dalam situasi ini, berikut ialah panduan kami tentang cara tangani cek tendang sebagai pemiutang.


Bolehkah anda menggarnis semua bank di Malaysia?


Katakanlah pemiutang inginkan bantuan kami menggarnis setiap bank di Malaysia untuk kenal pasti semua akaun bank milik si penghutang, ibarat seluk pekasam sampai ke pangkal lengan.


Malangnya pemiutang jarang buka akaun dalam pekasam.
Malangnya pemiutang jarang buka akaun dalam pekasam.

Jawapan kami: Secara teori boleh, tetapi majoriti bank tidak akan memegang wang bagi pihak penghutang dan berkemungkinan meminta kami membayar kos guaman mereka atas masa yang terbuang (lihat Tahap 3 bahagian seterusnya).


Walaupun beberapa ribu Ringgit setiap bank, ia usaha yang sangat mahal.


Inilah sebabnya kami kenal pasti bank sebelum memohon perintah garnisi, bukannya gunakan perintah garnisi untuk cari akaun bank - ini lebih sesuai untuk saman penghutang penghakiman (JDS).


Memohon perintah garnisi ke atas akaun bank


Seringkasnya, prosiding garnisi melalui proses dengan tiga peringkat.


Peringkat 1: Permohonan ex parte


Langkah pertama ialah memfailkan permohonan ex parte dengan afidavit yang:


  • mengenal pasti penghakiman yang telah diperoleh

  • menyatakan jumlah penghakiman yang masih belum dijelaskan

  • mengenal pasti bank yang dinamakan sebagai garnisi

  • menerangkan sebab pemiutang percaya bahawa bank tersebut memegang wang bagi pihak penghutang penghakiman


Permohonan ini dibuat tanpa memaklumkan penghutang terlebih dahulu.


Ini dilakukan dengan sengaja. Jika notis awal diberikan, penghutang boleh memindahkan wang sebelum mahkamah dapat mengambil tindakan.


Peringkat 2: Perintah garnisi tunjuk sebab


Jika permohonan berjaya, mahkamah boleh mengeluarkan Perintah Garnisi Tunjuk Sebab, yang juga digelar Perintah Garnisi Nisi.


Show Cause Garinshee Order sample 1
Show Cause Garinshee Order sample 2

Perintah ini mempunyai dua fungsi penting:


  1. Membekukan wang yang dipegang oleh bank pada masa perintah diserahkan.

  2. Mewajibkan bank hadir ke mahkamah dan menjelaskan jumlah wang yang dipegang bagi pihak penghutang.


Perintah tersebut kemudiannya mesti diserahkan kepada kedua-dua bank dan penghutang penghakiman sebelum tarikh pendengaran.


Peringkat 3: Perintah garnisi mutlak


Di pendengaran, bank mendedahkan sama ada ia memegang wang milik penghutang penghakiman, dan penghutang juga boleh hadir untuk mengemukakan bantahan.


Jika tiada bantahan yang sah berjaya dikemukakan, mahkamah boleh memberikan Perintah Garnisi Mutlak, yang mengarahkan bank membayar pemiutang secara terus daripada wang milik penghutang.


garnishee order absolute sample 2

garnishee order absolute sample 1

Ini ialah perintah terakhir yang mengarahkan wang tersebut dipindahkan.


Adakah bank akan bantah perintah garnisi?


Biasanya tidak. Jika penghutang hanya mempunyai wang dalam akaun simpanan atau akaun semasa, bank secara amnya akan mengesahkan bahawa wang tersebut wujud dan memindahkannya kepada pemiutang.


Namun, jangan anggap bank sebagai kawan anda - mereka biasanya hanya mematuhi arahan mahkamah, dan sesetengah tugas sememangnya bukan tanggungjawab mereka.


Bank mungkin membantah jika ada tuntutan ke atas wang


Contohnya jika wang berada dalam akaun pinjaman fleksibel (flexi loan), bank mungkin menyatakan bahawa wang tersebut diperlukan untuk membayar pinjaman penghutang. Jika bank membantah, perkara tersebut mungkin menjadi dipertikaikan.


Bank takkan beri butiran perbankan penghutang secara sukarela


Kecuali diarahkan oleh mahkamah, bank tidak diwajibkan membantu pemiutang mengesan aset penghutang, mengenal pasti akaun lain atau mencari wang yang telah dipindahkan ke tempat lain.


Perintah garnisi hanya untuk wang yang ada pada masa itu


Perintah garnisi biasanya hanya meliputi wang yang sudah ada dalam akaun apabila perintah diserahkan. Ia tidak secara automatik membekukan deposit pada masa hadapan atau wang yang kemudiannya dimasukkan ke dalam akaun.


RM50,00 sebagai minimum praktikal


Kami lihat perintah garnisi seperti kaedah penguatkuasaan lain: Berkesan dalam keadaan sesuai, tetapi berpotensi memakan kos dan masa yang tinggi.


Kos bagi saman sivil dan prosiding garnisi boleh mencecah RM40,000 - RM50,000 dengan mudah dan mengambil masa hingga bertahun lamanya dalam kes-kes luar biasa.


news article of garnishee order in malaysia only made absolute after many years of a trial
Perintah mutlak selepas bertahun-tahun di mahkamah.

Oleh itu, walaupun tiada jumlah minimum dari segi undang-undang, kami nasihatkan klien supaya tidak memulakan prosiding garnisi bagi hutang di bawah RM50,000, kerana ia tidak akan berbaloi walaupun hutang tersebut berjaya dituntut sepenuhnya.


Ini tidak bermakna anda perlu melupakan hutang tersebut! Dalam pengalaman kami, penyelesaian yang dirundingkan dengan baik dengan terma pembayaran yang realistik sering kali jauh lebih berkesan.


Itu saja daripada kami, dan semoga tuntutan hutang anda berjalan lancar 🙂


Garnis akaun bank penghutang dengan Rule & Co.




Dengan sedekad dalam tuntutan hutang, Rule & Co. telah membantu ramai pemiutang melalui prosiding garnisi ke atas akaun bank penghutang. Izinkan kami bimbing anda sepanjang proses untuk dapatkan wang yang terhutang.


 
 
 

Comments


bottom of page